Thursday, 10 March 2011

Hikayat Merong Mahawagsa Gegar Malaysia!!!



Hikayat Merong Mahawangsa
Bahasa: Bahasa Melayu
Klasifikasi: Umum
Genre: Sejarah, Aksi, Peperangan
Durasi: 1 jam 50
Tarikh Tayangan: 10 Mac 2011
Pelakon: Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Jehan Miskin, Nell Ng, Umie Aida, Acong, Mano Maniam.
Pengarah: Yusry Abd Halim



Pada tahun 120, Empayar Rom yang di bawah pemerintahan Hadrian dan Dinasti Han di China adalah dua buah empayar yang kuat. Kedua-duanya telah memperluaskan kuasa perdagangan ke negara Asia Tengah.

Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka untuk dikahwinkan dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.

Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai rancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung perairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda.

Dapatkah Merong Mahawangsa menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat?


Pembikinan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan menelan belanja kira-kira RM 8 juta, menjadikannya filem Melayu kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang yang ditayangkan pada tahun 2004. Oleh sebab filem ini ditujukan kepada pasaran antarabangsa, mula-mula dilaporkan bahawa filem ini terdiri daripada 70% bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Melayu Klasik dan lain-lain. Akan tetapi, pada Mei 2010, ketika proses pascapenerbitan dijalankan, pihak KRU mengesahkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa keluar dalam dua versi, iaitu versi Malaysia yang melebihkan dialog bahasa Melayu, dan versi pasaran antarabangsa yang mengutamakan bahasa Inggeris.

Untuk menjimatkan perbelanjaan, KRU memanfaatkan teknologi CGI untuk menghasilkan kebanyakan latar bersejarah, selain prop dan latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.

Penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa diadakan selama 52 hari, bermula pada 9 Jun 2009 dan berakhir pada 8 Ogos, dengan menyempurnakan 90% penggambarannya di negeri Terengganu, dan selebihnya di negeri lain seperti Pahang dan Kuala Lumpur.

Yusry Abdul Halim selaku sutradara memaklumkan pihak akhbar bahawa skrip filem ditulis berpandukan buku dan sumber Internet serta kajian yang dilakukan kru produksi. "Kita tidak mengambil keseluruhan cerita, sebaliknya hanya bahagian penting yang menguatkan jalan cerita. Ini kerana cerita asalnya banyak mitos dan kita menukarnya menjadi logik dan mudah difahami," katanya. "Sebagai contoh, watak burung garuda dalam cerita asal kita tukar kepada watak lanun, tetapi masih mengekalkan namanya." Penerbit eksekutif, Norman Abdul Halim menambah, skrip filem disemak 17 kali demi cerita yang lebih logik dan berintegriti. Selain gugurnya adegan burung garuda, perjumpaan Merong Mahawangsa dengan Nabi Sulaiman a.s. seperti dalam manuskrip asal juga tidak disertakan.

Bagaimanapun, jalan cerita ditokok dengan perihal ibunda Merong Mahawangsa berasal dari Kedah supaya kaitan Hikayat dengan negeri itu lebih jelas. Ketika ditanya mengenai pemilihan Stephen Rahman Hughes sebagai pemegang watak utama, Yusry menjawab, "Kami memilih Stephen kerana dalam filem ini dia mempunyai darah Iskandar Agung. Dia dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh belajar bahasa Melayu dan betul mendalami karakter," sebagai menyentuh penceritaan catatan asli bahawa Merong Mahawangsa mendakwa dirinya keturunan raja Macedonia handalan tersebut. Selain itu, Norman juga mengakui bahawa pihak penerbitan filem mengimport senjata dari China dan Amerika Syarikat yang terpaksa dihapuskan selepas penggambaran atas arahan Kementerian Dalam Negeri, di samping mengupah ramai pelagak ngeri termasuk 10 orang dari Hong Kong yang pernah bekerja bersama Jackie Chan. 

Yusry juga dikatakan menyediakan tiga skrip khas untuk membantu pemahaman pelakon utama berbangsa Inggeris ini, iaitu skrip pertama dalam Bahasa Inggeris keseluruhannya, skrip kedua dalam terjemahan bahagian dialog berbahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dan skrip terakhir ialah "terjemahan secara langsung untuk setiap ayat." Yusry juga pernah mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem besar terakhir arahannya kerana "ingin memberi peluang kepada pengarah lebih berbakat mengarahkan filem terbitan KRU Studios." Dalam temubual Berita Harian bersama Edry dan Norman di majlis pratonton pada 7 Mac, mereka mengulas bahawa kerja Yusry dalam pengusahaan filem ini banyak membawa tekanan kepada hidupnya, ibarat "menatang minyak yang penuh sehingga keadaan dirinya terabai begitu saja". Jelas Norman, "Pernah sewaktu saya bercakap dengan Yusry menerusi telefon, Yusry menangis kerana tidak tahan berdepan dengan cabaran yang terpaksa ditempuhinya sewaktu mengarahkan filem ini. Saya faham situasi yang terpaksa dilaluinya. Bukan mudah untuk mengendalikan sebuah produksi yang berskala mega seperti ini." Tambah Edry, "Terus terang, saya melihat Yusry macam orang gila kerana terpaksa melalui pelbagai situasi yang mencabar kesabarannya. Apapun, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya itu dan alhamdulillah, selepas melihat hasilnya, kami semua merasa bangga dengan hasil kerjanya."

No comments:

Post a Comment